Tuesday, 14 April 2015

KEPENTINGAN KAJIAN TINDAKAN

KEPENTINGAN KAJIAN TINDAKAN

Menurut Othman Lebar (2011: 57), kepentingan kajian tindakan terbahagi kepada dua iaitu sebagai asas untuk membuat keputusan berasaskan data dan sumbangan kepada profesionalisme guru. 

1.   * Sebagai asas untuk membuat keputusan berasaskan data.

Dalam tugas seharian, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah, guru sentiasa membuat keputusan tentang sesuatu tindakan yang telah dan sedang dijalankannya. Sama ada keputusan yang dibuat itu berkesan atau tidak banyak bergantung pada keupayaan guru menggunakan sumber dan maklumat yang ada sebagai asas membuat keputusan. Bentuk dan sumber maklumat juga akan memberi kesan kepada kualiti keputusan yang dibuat. Oleh itu, untuk mendapatkan maklumat atau data yang boleh dipercayai, dari segi ketepatan dan kerelevanannya, ia mestilah diperolehi melalui satu prosedur dan proses yang sistematik. Itulah sebabnya mengapa kajian guru itu penting bagi mendapatkan maklumat yang tepat sebagai asas untuk membuat keputusan yang sesuai dan berkesan, di samping dapat mendokumenkan tindakan guru semasa membuat keputusan. Dengan erti kata lain, kajian dapat membantu guru dan pihak-pihak lain berkepentingan dalam mengenal pasti keperluan, menilai tindakan dan perubahan yang dibuat melalui keputusan yang dibuat berasaskan data.

* Sumbangan kepada profesionalisme guru. 


Tidak dapat dinafikan pendekatan kajian tindakan telah banyak digunakan oleh sekolah sebagai asas perkembangan profesionalisme guru. Dengan terlibat dalam proses dan aktiviti kajian tindakan, guru dapat mempertingkat amalan mereka berdasarkan penelitian dan refleksi ke atas amalan dalam situasi yang sebenar. Peningkatan amalan berasaskan pengetahuan dan teori tempatan yang dapat mengembangkan pengetahuan dan kemahiran guru. Ini bersesuaian dengan konsep dan ciri-ciri profesional yang menekankan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang tugas dan tanggungjawab. 

Sumber : Othman Lebar(2011). Kajian Tindakan dalam Pemikiran. Tanjong Malim : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. 

No comments:

Post a Comment